
Soal hidup adalah tidak pasti. Perpisahan sering menduga tanpa disangka. Manakala musibah adalah tidak menentu masanya.
Semua orang punyai harapan dan impian yang semestinya inginkan yang terbaik. Namun, harapan hanyalah tinggal harapan dan hanya bergantung kepada takdir yang maha berkehendak.
Siapalah kita untuk melawan kehendakNya. Jika kehendakNya kita masih bernyawa, datangkanlah apapun halangan dan cobaan untuk mengambil nyawa mu pasti tidak akan. Tetapi jika ia berhendak nyawa harus berpisah dengan jasad maka, ia boleh berlaku tanpa sebab dan syarat.
Bersedialah…
Kerana yang pasti adalah kematian.
Jangan sampai kita terkapai saat waktu itu datang. Terutama insan tersayang yang kita tinggalkan kerana ia bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Ianya kewajipan kita. Seperti yang disabdakan baginda s.a.w dalam hadis seperti berikut :
“Tinggalkan anak dan isteri dengan kesenangan itu lebih baik daripada tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta”
(Hadis Riwayat Sa’ad Bin Abu Waqqash r.a)
Hadis berikut menunjukkan apa yang seharusnya kita lakukan dalam meredah liku-liku takdir yang kita tidak ketahui bila dan adakah kita akan mengalaminya atau tidak.
Inilah pegangan umat Islam berusaha sebelum bertawakkal dan dalam berusaha kita wajib berdo’a kerana segalanya dengan iziNya.
Jangan jadi seperti QARUN yang yakin hasil kekayaanya hanya semata-mata usahanya dan akhirnya dia ditenggelamkan Allah dengan kekayaannya itu.
Sebagai umat Islam yang beriman kita mestilah melalui fasa usaha, do’a, tawakkal dan redha. Selagi ada jalan untuk berusaha selagi itu jangan bertawakkal. Teruskan berusaha sehingga tiada lagi jalan untuk kita berusaha. Setelah itu, barulah kita bertawakkal dan terima dengan redha apapun kesudahannya samada ia pahit atau manis kerana hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita.
Apa yang kita rasa baik dan suka tidak semestinya baik untuk kita. Demikian sebaliknya apa yang kita benci boleh jadi ia baik untuk kita.
Jangan sesekali berandaian itu ok ini ok. Mudah-mudahan, aku hanya berdo’a, jangan minta-minta, minta yang baik-baik ja, pandai-pandailah mereka. Ringkasnya jangan mengatakan sesuatu tanpa ada jaminan. Jaminannya hanyalah kita mesti berusaha dan berdo’a agar beroleh yang terbaik.
Bagaimana bentuk usaha itu juga perlu kepada ilmu. Letakkanlah ilmu pada haknya. Jangan pandai-pandai mengambil alih satu ilmu itu, sedangkan kita bukan ahlinya.